SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI .....................

SELAMAT DATANG KE BLOG BAHAN TUGASAN KAMI .....................
Kami pamerkan bahan yang kami ada.........kalau tak silu ambillah ........semuanya free je...

Wednesday, April 6, 2011

KEMAHIRAN PROSES SAINS – KEMAHIRAN MERAMAL

1.0 Pengenalan

Sebagai sebuah negara yang sedang melangkah ke arah status negara maju, Malaysia perlu mewujudkan masyarakat yang saintifik dan progresif, yakni masyarakat yang mempunyai daya perubahan yang tinggi dan memandang jauh ke hadapan serta menjadi penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan

Untuk mencapai hasrat ini, kita perlu membentuk warganegara kreatif dan berketrampilan yang mengamalkan budaya sians dan teknologi. Warganegara yang berbudaya sains dan teknologi mempamerkan ciri-ciri seperti bersemangat ingin tahu dan ingin mencuba, celik sains, bersifat terbuka, membuat keputusan berdasarkan fakta yang nyata dan tepat serta menghargai sumbangan sains dan teknologi. Warganegara sedemikian dapat dibentuk sekiranya pendedahan awal kepada sains dan teknologi diberikan. Sains secara amnya dilihat sebagai satu bidang ilmu pengetahuan dan juga sebagai satu kaedah inkuiri dalam penyelesaian masalah.

Sebagai satu bidang ilmu pengetahuan, sains membekalkan satu rangka konsep yang membolehkan kanak-kanak memahami alam sekeliling mereka. Ilmu pengetahuan sains ini akan menjadi lebih bermakna kepada murid jika mereka dibantu menghubungkan fakta dan konsep, membuat pengitlakan dan mengaitkan pembelajaran baru dengan ilmu yang sedia ada. Ini membolehkan mereka memahami situasi dan maklumat baru.

Sebagai satu kaedah inkuiri dalam penyelesaian masalah, sains dapat memperkembangkan kemahiran untuk menyiasat alam sekitar mereka di samping mendapatkan ilmu pengetahuan. Inkuiri secara saintifik juga memerlu dan membolehkan murid memperkembangkan sikap yang positif. Pembelajaran sains dapat menggalakkan semangat ingin tahu, kreativiti, berfikiran terbuka, ketabahan, ikram terhadap hidupan dan menghargai alam sekitar. Sains di peringkat sekolah rendah membolehkan murid mempelajari tentang diri sendiri dan alam sekitar mereka melalui pengalaman dan juga penyiasatan.

Kurikulum sains ini digubal untuk murid Tahap I dan Tahap II sekolah rendah, iaitu Tahun 1 hingga Tahun 6. Penekanan diberikan kepada pembelajaran menerusi pengalaman dan relevan kepada kehidupan harian murid, pendekatan inkuiri, perkembangan kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir, penyelidikan dan penyelesaian masalah, aplikasi prinsip sains, dan penerapan sikap saintifik dan nilai murni.

2.0 Matlamat dan Objektif

Pendidikan sains sekolah rendah bertujuan melahirkan insan yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk membentuk masyarakat berbudaya sains dan teknologi, ikram, dinamik dan progresif supaya lebih bertanggungjawab terhadap alam sekliling dan mengagumi ciptaan alam.
Matlamat pendidikan sains rendah dicapai dengan memberi peluang kepada murid belajar melalui pengalaman untuk :-
• Memperkembangkan kemahiran berfikir bagi meningkatkan daya intelek;
• Memperkembangkan kemahiran saintifik secara inkuiri;
• Meningkatkan minat semula jadi terhadap alam sekeliling;
• Memperoleh pengetahuan dan kefahaman tentang fakta dan konsep sains bagi membantu mereka memahami diri sendiri dan alam sekeliling;
• Menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dengan bertanggungjawab;
• Menangani sumbangan dan inovasi terkini dalam sains dan teknologi;
• Mengamalkan nilai murni dan sikap saintifik dalam kehidupan harian;
• Menghargai sumbangan sains dan teknologi bagi kesejahteraan hidup; dan
• Menghargai susunan dan ketertiban dalam alam.


3.0 Rasional Pengajaran Kem. Proses Sains


4.0 Definisi Kemahiran Proses Sains
Kemahiran Proses Sains bolehlah didefinisikan sebagai membuat jangkaan tentang sesuatu peristiwa berdasarkan pemerhatian yang lalu atau melalui pemerolehan data yang boleh dipercayai. Ini bermakna murid-murid diberikan peluang untuk mengeluarkan idea dan pendapat mengenai sesuatu perkara berdasarkan pemerhatian lalu dan juga data serta pengalaman yang boleh dipercayai kebenarannya.
4.1 Mengapa kita perlu menggalakkan penguasaan kemahiran proses sains?
Ada dua jawapan yang utama kepada persoalan ini. Pertama, nilai penguasaan kemahiran proses sains dari segi intelek adalah lebih tinggi daripada semata-mata penguasaan fakta dan prinsip sains. Kemahiran proses yang dipelajari dalam sains adalah sebenarnya boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian kita. Apabila murid-murid telah menguasai kemahiran ini, mereka boleh mengemukakan soalan dan mencari jawapan tentang alam sekeliling serta membentuk idea dan konsep dengan sendiri .Kedua, menurut kajian yang telah dijalankan oleh beberapa universiti di luar negara, mendapati murid-murid membentuk idea masing-masing tentang fenomena alam semulajadi sejak kecil lagi. Oleh itu, mereka sebenarnya bukanlah semata-mata mempelajari sesuatu yang baru di sekolah tetapi membina atau mengubahsuai pengalaman yang sediada melalui pendekatan inkuiri yang digunakan oleh guru.
Kemahiran Proses Sains terbahagi kepada:
* Memerhati
* Mengelas
* Mengukur dan menggunakan nombor
* Membuat inferens
* Meramal
* Berkomunikasi
* Menggunakan perhubungan ruang dan masa
* Mentafsir maklumat
* Mendefinisikan secara operasi
* Mengawal pembolehubah
* Membuat hipotesis
* Mengeksperimen

4.2 Strategi Pengajaran dan Pembelajaran

Strategi pengajaran dan pembelajaran yang disarankan dalam mata pelajaran Sains sekolah rendah ini berteraskan pembelajaran melalui pengalaman yang mengutamakan pendekatan inkuiri. Inkuiri secara amnya bermaksud mencari maklumat, menyoal dan menyiasat sesuatu fenomena yang berlaku di sekeliling.
Penemuan merupakan sifat utama inkuri. Pembelajaran secara penemuan berlaku apabila konsep dan prinsip utama dikaji dan ditemui oleh murid sendiri. Walau bagaimanapun, di peringkat sekolah rendah, murid memerlukan bimbingan dan panduan dalam menemui sesuatu konsep dan prinsip. Justeru, pendekatan yang berkesan ialah melalui penemuan terbimbing. Ini bermaksud bahawa guru membimbing murid dalam menemui sesuatu konsep dan prinsip melalui perbincangan, pertanyaan atau penyelesaian masalah. Namun demikian, perlu diingat bahawa pendekatan inkuiri tidak sesuai digunakan dalam semua situasi pengajaran dan pembelajaran. Beberapa konsep dan prinsip lebih sesuai didedahkan secara langsung oleh guru.
Pelbagai kaedah boleh dijalankan oleh guru untuk mengasuh dan membimbing murid memperoleh ilmu pengetahuan, menguasai kemahiran saintifik dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam mempelajari sains supaya menjadi lebih kritis, analitis dan bertanggungjawab. Kaedah yang disarankan termasuk eksperimen, perbincangan, simulasi dan projek.
Eksperimen Menguji hipotesis melalui penyiasatan. Ini melibatkan murid mengawal pembolehubah dan juga melibatkan kemahiran proses dan kemahiran manipulatif.
Perbincangan Murid menyoal dan mengemukakan pendapat berlandaskan dalil atau ulasan yang sahih dan mempunyai fikiran terbuka untuk menerima pendapat orang lain.
Simulasi Aktiviti yang dijalankan menyerupai yang sebenarnya. Tiga contoh simulasi yang utama ialah main peranan, permainan dan penggunaan model. Dalam main peranan, murid melakonkan sesuatu peranan secara spontan berdasarkan beberapa syarat yang telah ditentukan. Permainan pula mempunyai peraturan-peraturan yang harus dipatuhi. Murid bermain untuk mempelajari sesuatu prinsip ataupun untuk memahami proses membuat keputusan. Model boleh digunakan untuk mewakili objek atau keadaan sebenar. Murid dapat membayangkan situasi tersebut dan seterusnya memahami konsep dan prinsip yang dipelajari.
Projek Aktiviti yang dijalankan oleh individu atau sekumpulan murid untuk mencapai sesuatu tujuan tertentu dan mengambil masa yang panjang serta menjangkau waktu pembelajaran yang formal.

4.3 Kaedah Mengajar Sains Di Sekolah Rendah Berkesan
Seorang pengajar boleh menggunakan beberapa kaedah mengajar sama ada secara berasingan atau gabungan pelbagai kaedah semasa mengajar. pemilihan kaedah atau gabungan kaedah yang dilaksanakan bergantung kepada pelajar yang diajar, bahan pembelajaran dan kemudahan media yang tersedia.
Ia juga bergantung kepada kefahaman, kebolehan dan kemahiran pengajar mengenai kaedah yang akan digunakan.
Berikut diberikan penerangan ringkas di antara kaedah-kaedah mengajar yang boleh dipilih dan digunakan, iaitu:
a. Kaedah heuristik
Dalam kaedah ini, pelajar dibimbing untuk membuat penemuan sendiri bahan-bahan pembelajaran dan menggunakan konsep dalam latihan. peranan guru menjadi pembimbing, penasihat, pakar rujuk dan penilai.
b. Kaedah induktif.
Kaedah ini menggunakan pendekatan bermula daripada bahan pengajaran yang konkrit dan abstrak, khusus kepada umum dan daripada contoh kepada hukum am. kebenaran universal dibuktikan daripada ciri-ciri satu kes dan beberapa kes lain yang serupa.
c. kaedah deduktif.
Ia berlawanan dengan kaedah induktif iaitu pelajar bermula daripada aspek umum kepada khusus, abstrak kepada konkrit dan formula kepada contoh.
d. kaedah Dogmatik
Bahan pembelajaran dibentangkan mengikut hukum, prinsip dan formula. latihan diberi untuk pelajar menggunakan hukum, prinsip atau formula itu dalam situasi yang berperingkat.
e. Kaedah projek.
Pelajar dikehendaki menyiapkan projek khas yang dipilih mengikut bimbingan dan panduan pengajar. Peranan guru ditambah sebagai penasihat, pakar rujuk dan penilai.
f. Kaedah amali.
Pelajar menjalankan aktiviti pembelajaran atau eksperimen atau kajian mengikut arahan yang diberi dengan menggunakan bahan-bahan yang disediakan oleh guru. peranan guru sebagai pembimbing, penunjuk ajar, penasihat, pakar rujuk dan penilai.


g. Kaedah Lawatan.
Pengajar mengatur supaya pelajar melawat ke tempat tertentu (di luar bilik darjah) dengan bahan pembelajaran boleh didapati dan dikaji dengan mudah.
h. Kaedah Sintesis.
Pelajar bermula daripada apa yang diketahui kepada apa yang belum diketahui. berdasarkan data yang ada, pelajar merumus kesimpulan.
i. Kaedah Topik
Pengajar membentangkan isi pelajaran mengikut topik sehingga lengkap, sekali gus menghubungkaitkan dengan topik-topik berkaitan.
j. Kaedah Simulasi
Kaedah berlakon. Dalam kaedah ini, pengajar menetapkan peranan dan situasi untuk pelajar terlibat dalam aktiviti pembelajaran sebagai individu lain. Dengan cara ini, pelajar berpengalaman menjalankan peranan bukan sebagai pelajar sahaja, bahkan ia dapat mengalami sendiri peranan yang mereka boleh mainkan.Keberkesanannya bergantung kepada kebolehan dan kefahaman peranan yang dimainkan itu.
k. Kaedah Cerita
Pengajar membentangkan bahan pembelajaran dalam bentuk cerita yang boleh meningkatkan minat dan motivasi pelajar.
l. Kaedah perbincangan
Pengajar membimbing pelajar untuk menjalankan perbincangan sama ada dalam kumpulan besar atau pun kumpulan kecil selepas ditugaskan membuat rujukan atau kajian.


m. Kaedah Modular
Bahan pembelajaran didedahkan mengikut pelbagai teknik dan cara. Sepanjang proses pengajaran kaedah ini, pelajar dikehendaki menjalankan pelbagai aktiviti seperti membuat latihan , menyelesaikan masalah dan menjawab soalan mengenai bahan itu. Pada akhir pembelajaran pelajar mengambil ujian untuk menentukan tahap kefahaman dan penguasaan.
n. Kaedah soal jawab
Pengajar mengemukakan soalan untuk dijawab oleh pelajar di mana jawapan itu dibina sebagai isi pelajaran yang lengkap.
Semua kaedah yang disebutkan di atas , dikemukakan bertujuan mempelbagaikan kaedah pengajaran guru dan seterusnya untuk meningkatkan kemahiran sains di kalangan pelajar dalam aspek-aspek sains berikut:
1. Melakukan eksperimen
2. Mengawal pemboleh ubah bagi sesuatu eksperimen
3. Membuat pemerhatian/pengamatan
4. Mengenal pasti perubahan
5. Mengenal pasti perbezaan
6. Mengenal pasti kesamaan
7. Membuat perbandingan
8. Mencatat data
9. Mengolah/memproses data
10. Meramal berdasarkan data
11. Mengingat kembali fakta
12. Membuat kesimpulan
13. Mentafsir data dan maklumat
14. Membuat hipotesis
15. Membuat inferens
16. Membuat laporan (berkomunikasi)
17. Menggunakan konsep
18. Memberi alasan/sebab
19. Melukis rajah
20. Melabel rajah
21. Mengguna peralatan/bahan sains dengan betul
22. Menyimpan peralatan/bahan sains dengan betul
23. Membersihkan peralatan/bahan sains dengan betul
Sebagaimana yang telah ditetapkan dalam kurikulum sains untuk menghadapi UPSR Kementerian Pendidikan Malaysia.
4.4 Langkah-langkah pengajaran Sains Berkesan:
Secara ringkas, langkah yang perlu dilaksanakan oleh setiap guru untuk memastikan ia menghasilkan pengajaran yang berkesan ialah:
a. Persediaan pengajaran
b. menyatakan tajuk pengajaran
c. Menyatakan objektif pengajaran-pembelajaran, apakah yang diperolehi selepas
pengajaran-pembelajaran
d. melakukan aktiviti pengenalan pengajaran (induksi set?)
e. mempersembahkan bahan pengajaran
f. membuat kesimpulan pengajaran
g. Mengadakan aktiviti pengukuhan

4.5 Persediaan Pengajaran
Dalam memastikan pengajaran yang berkesan dan baik, seseorang guru seharusnya merangka dan merancang terlebih dahulu pengajaran yang ingin dijalankan. Antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut :
1. Sediakan tajuk pengajaran
2. Sediakan bahan pengajaran secara terperinci, terutamanya mengenai:
a. Apakah konsep penting dalam tajuk
b. Apakah isi-si penting
c. Apakah kata kunci yang perlu diingat oleh pelajar berkaitan tajuk
d. Rajah dan alat bantu ajar (transparensi/carta rajah/komputer)
e. Gambar-gambar yang boleh ditunjukkan
f. Contoh yang berkaitan
g. Kesimpulan yang disampaikan

3. Fikir, sediakan dan susun urutan kaedah persembahan, terutamanya tentang:
a. Induksi set
b. Kaedah interaksi
c. Soalan yang perlu dikemukakan sepanjang persembahan

5.0 Kemahiran Meramal
Kemahiran meramal adalah merupakan salah satu daripada kemahiran proses Sains yang penting dan perlu diterapkan oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran berjalan. Ini perlu diketahui oleh guru agar dapat memberikan peluang kepada murid-murid untuk melahirkan idea dan pendapat sendiri dengan dipandu oleh guru. Kemahiran meramal ini juga akan dapat memberi peluang kepada murid-murid untuk berfikir secara kreatif dan kritis bagi melahirkan idea dan pendapat.
5.1 Definisi Kemahiran Meramal
Menjangkakan apa yang akan berlaku pada masa akan datang berdasarkan pengalaman / pengetahuan atau data-data / maklumat yang terbukti kesahihannya.
5.2 Konsep Kemahiran Meramal
Konsep pengajaran Kemahiran Meramal kepada murid-murid adalah untuk memberikan peluang kepada mereka melahirkan idea dan pendapat sendiri melalui pemikiran secara kreatif dan kritis. Di samping itu, murid-murid juga diajar untuk membuat rumusan atau kesimpulan hasil daripada perbincangan atau dapatan yang diperolehi.
6.0 Proses Pelaksanaan Kemahiran Meramal dalam Pengajaran Sains
Mata Pelajaran : Sains Tahun 6
Masa : 1 jam
Topik : 3 – Alam Bahan
Sub topik : Kesan Pembuangan Bahan Buangan Ke atas Alam
Sekitar.
Sikap dan Nilai : Menghargai alam sekitar, Kerjasama, Prihatin, KBKK.

6.1 Set Induksi – 5 minit
Pada peringkat ini guru akan menjalankan aktiviti meramalkan berdasarkan persoalan yang diberikan secara spontan. Contoh soalan : Apa yang akan berlaku pada tempat anda 10 tahun akan datang ?
Rasional aktiviti : Untuk membuka minda pelajar terhadap persekitaran tempat tinggal mereka dan persediaan menghadapi pelajaran hari itu.
6.2 Langkah 1 – 15 minit
Pada peringkat ini guru akan memulakan pengajaran dengan menunjukkan sekeping gambar mengenai satu kawasan persekitaran yang telah tercemar dengan menggunakan paparan dari LCD. Guru meminta murid cuba menjelaskan dan meramalkan apakah kemungkinan yangmenyebabkan keadaan seperti di dalam gambar tersebut. Guru juga meminta murid menyenaraikan apa yang dijangkakan oleh murid seberapa banyak yang mungkin dalam kumpulan tiga orang.
Rasional aktiviti :
6.3 Langkah 2 – 15 minit
Seterusnya guru akan meminta wakil setiap kumpulan menyatakan semula maklumat yang dikumpulkan hasil perbincangan kumpulan sambil kumpulan lain cuba memberikan pandangan terhadap maklumat yang dijelaskan. Seterusnya guru akan memperjelaskan lagi perkara tersebut berdasarkan hasil dapatan murid.
Rasional aktiviti : Untuk memberikan peluang murid-murid mengeluarkan idea dan pendapat sendiri berdasarkan kemahiran nilai tambah iaitu Kemahiran Berfikir Secara Kreatif dan Kritis ( KBKK )..
6.4 Langkah 3 – 10 minit
Pada peringkat ini, guru seterusnya mempamerkan gambar lain yang menunjukkan satu kawasan bukit dan hutan yang masih belum diteroka melalui paparan dari LCD. Guru meminta setiap kumpulan cuba bincang dan menyenaraikan maklumat yang mungkin dijangkakan berlaku sekiranya tidak dijaga dengan sebaiknya oleh pihak bertanggung jawab. Apakah akan berlaku sekiranya tidak ada lagi kawasan seperti yang dipaparkan dalam gambar. Guru juga meminta setiap kumpulan menyenaraikan apakah tindakan dijangkakan boleh diambil terhadap mereka yang merosakkan alam sekitar.
Rasional aktiviti :
6.5 Langkah 4 – 10 minit
Seterusnya guru meminta seorang ahli setiap kumpulan keluar ke hadapan kelas dan memperdengarkan hasil dapatan kumpulan sementara kumpulan lain buat catatan dan fikirkan rumusan yang boleh dibuat berdasarkan hasil dapatan yang telah dibentangkan serta dibincangkan. Guru seterusnya membuat satu rumusan daripada semua dapatan murid mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan kesannya jika alam sekitar tidak dijaga oleh semua pihak.
Rasional aktiviti :
6.6 Penutup – 5 minit
Di akhir pengajaran ini guru meminta murid menyenaraikan semula kesan tidak menjaga dan mencemarkan alam sekitar dan kepentingan alam sekitar kepada manusia pada masa akan datang.
Rasional aktiviti : Untuk melihat semula pemahaman murid mengenai sub topik yang dipelajari dan untuk menilai semula murid melalui latihan.

7.0 Rumusan dan Cadangan

7.1 Cadangan Pengajaran Sains Berkesan
Pengajaran berkesan ialah proses mengajar yang menghasilkan proses pembelajaran yang berkesan di kalangan pelajar yang menghasilkan proses pengajaran tersebut. Ia dapat mengubah tingkah laku, membina dan mengembangkan aspek rohani, minda serta jasad pelajar.
Dalam bahasa yang mudah, pelajar berasa seronok, bertambah minat, faham, menghayati bahan yang diajar, meningkat kemahiran dalam aspek kognitif dan manipulasi mereka serta dapat melakukan aktiviti yang berkaitan dengan proses pengajaran yang telah dijalani. Selanjutnya, pelajar lulus cemerlang dalam peperiksaan yang dijalani.
Pada asasnya, pengajaran berkesan bergantung kepada:
a. Kepakaran guru terhadap bahan pengajaran,
b. Keperluan bahan pengajaran
c. Pedagogi dan strategi atau kaedah pengajaran
d. Kemahiran berkomunikasi.
Di samping itu, terdapat pelbagai faktor lain yang boleh menyumbangkan ke arah pengajaran guru berkesan. Ini termasuklah:
1. Matlamat dan sasaran pengajaran guru setiap hari.
2. Matlamat dan sasaran pencapaian akademik sekolah
3. Sikap guru dan sikap pentadbir sekolah
4. Kemahiran guru dan kemahiran pentadbir sekolah.
5. Motivasi guru dan motivasi pentadbir sekolah.
6. Misi dan visi guru dan misi dan visi pentadbir sekolah.
7. Etika guru dan etika pentadbir sekolah.
8. Keadaan dan suasana persekitaran sekolah.
9. Kemahiran berkomunikasi guru dan pentadbir sekolah.
10. Pemikiran guru dan pemikiran pentadbir sekolah.
11. Keikhlasan guru dan pentadbir sekolah ketika melakukan pekerjaan juga turut
mempunyai saham yang penting ke arah keberkesanan pengajaran guru berkesan.
Di samping faktor yang disebutkan di atas tadi, faktor pelajar juga boleh mempengaruhi dan menyumbangkan ke arah pengajaran guru berkesan. Jika terdapat seorang guru yang mengajar dengan cara yang berkesan dalam sebuah kelas tetapi pelajar yang mengikuti pengajarannya tidak tahu peranan mereka sebagai pelajar yang berkesan, maka usaha tersebut akhirnya akan sia-sia sahaja.
Persoalannya sekarang, bagaimanakah dan apakah usaha yang perlu dilakukan dan dilaksanakan agar kita dapat mewujudkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri seperti disebutkan di atas?.... Bincanglah secara kumpulan dengan rakan-rakan guru.
7.2 Syarat Utama Mengajar Sains Berkesan
Terdapat beberapa syarat utama yang perlu diketahui oleh seorang guru untuk menghasilkan pengajaran sains berkesan,. Syarat tersebut ialah:`
1. Mengetahui peranan, tanggungjawab dan tugas mereka sebagai seorang
pengajar.
2. Mempunyai rasa empati yang tinggi terhadap pelajarnya.
3. Bersifat amanah, ikhlas dan jujur terhadap tugas yang diberikan.
4. Mempunyai sikap ingin membantu dan menolong orang lain.
5. Mempunyai sikap mengambil berat terhadap orang lain.
6. Mempunyai sikap bertimbang rasa dan jujur.
7. Menyedari dan mengetahui harapan para pelajar di bawah bimbingannya.
8. Berusaha mendapat kepercayaan yang tinggi terhadap dirinya di kalangan para
pelajarnya.
9. Berusaha mewujudkan suasana yang menarik dan memberangsangkan dengan
pelajar.
10. Berusaha mewujudkan suasana dan hubungan yang akrab dengan pelajar.
11. Berusaha mewujudkan suasana yang menarik di kalangan pelajar.
12. Mewujudkan hubungan yang mesra dengan semua pelajar.
13. Mempunyai hubungan yang rapor dan rapat dengan pelajar.
14. Mempunyai sikap suka mendengar.
15. mempunyai sikap humor ketika bersama pelajar.
16. Mempunyai daya penarik yang menakjubkan.
17. Mempunyai fikiran yang terbuka dan positif.
18. mempunyai kemahiran dalam bidang yang diajar.
19. Mempunyai kepakaran dam bidang teknik mengajar.
20. Mempunyai kepakaran berkomunikasi.
21. Mempunyai pengetahuan tentang kemanusiaan.
22. Mempunyai pegangan hidup semua orang boleh berjaya jika diberi bimbingan
yang mencukupi.
23. Sentiasa berusaha meningkatkan kepakaran dan kemahiran yang berkaitan
tugasannya.
24. Mempunyai kepercayaan dan pegangan hidup bahawa kejayaan boleh dicapai
setelah berusaha.
25. Selalu berdoa untuk diri dan pelajarnya.
26. Sentiasa bertawakal kepada Allah.

















RUJUKAN

Huraian Sukatan Pelajaran Sains KBSR Tahun Enam. (2001). Pusat
Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Mohamad Najib Abdul Ghafar. (1999). Penyelidikan pendidikan. Skudai : Penerbit
Universiti Teknologi Malaysia.
Mohd. Majid Konting. (1998). Kaedah penyelidikan pendidikan. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa & Pustaka.
Mokhtar Ismail (1995).Penilaian di bilik darjah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa &
Pustaka.
Prof. Madya Dr. Salihan Siais, Kertas kerja Konvensyen Pendidikan Sains dan
Matematik Sekolah Rendah Luar Bandar, Seremban, 2002.
http://www.ppk.kpm.my/sphsp/spsainsrendah/main.htm

http://sekolah.mmu.edu.my/skserkamdarat/download/rt/sains/sainsthn6.pdf

No comments:

Post a Comment