SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI .....................

SELAMAT DATANG KE BLOG BAHAN TUGASAN KAMI .....................
Kami pamerkan bahan yang kami ada.........kalau tak silu ambillah ........semuanya free je...

Wednesday, April 6, 2011

KESAN PEMBELAJARAN KOPERATIF KE ATAS PELAJAR MATRIKULASI DALAM MATA PELAJARAN MATEMATIK.

ABSTRAK.

Tujuan kajian ialah untuk menentukan kesan pembelajaran Koperatif ke atas kemahiran menyelesaikan masalah, kesedaran metakognitif, pencapaian Matematik, sikap terhadap Matematik dan sikap terhadap penyelesaian masalah pelajar-pelajar matrikulasi. Hasil kajian menunjukkan pelajar dalam kelas pembelajaran Koperatif mengatasi pelajar dalam kelas tradisional dalam ujian pos pencapaian dan kemahiran menyelesaikan masalah.


FOKUS PENULISAN

Penulis menyatakan bahawa cabaran kepada penubuhan sebuah negara maju, seperti yang dinyatakan dalam Wawasan 2020, memerlukan tenaga kerja yang berasaskan pendidikan Sains dan Matematik. Dalam dunia globalisasi sekarang, seseorang yang cekap dalam Matematik boleh meningkatkan lagi peluang dan pilihan bagi menentukan masa depan mereka (National Council for Teachers of Mathematics, 2000). Dari segi pedagogi, perkembangan pendidikan kini memerlukan strategi pengajaran yang lebih menitikberatkan penglibatan pelajar. Nik Aziz (1996) menyatakan guru Matematik masih bergantung kepada strategi dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang lama iaitu tahun 60-an dan 70-an.
Sebahagian besar percakapan guru dalam kelas adalah berbentuk syarahan (Abdullah & Mohd Sahandri Gani, 1998). Johnson et al. (1998) menegaskan, sebagai pendidik kita mesti mengubah paradigma lama pendidikan di kolej, iaitu, memindahkan pengetahuan pendidik kepada pelajar. (Glickman, 1991). Pengajaran sebegini mengandaikan guru sebagai sumber ilmu dengan penglibatan pelajar adalah pada tahap yang minimum dan interaksi antara pelajar boleh dikatakan tiada langsung. Penulis juga menulis bahawa banyak kajian menunjukkan penggunaan pembelajaran Koperatif boleh menyumbang kepada peningkatan kognitif dan afektif pelajar (Ahmadi, 2000; Austin et al., 1997; Nichols & Miller, 1994; Whicker et al., 1997; Potthast, 1999; Faizah, 1999; Lee, 1999; Leikin & Zaslavsky, 1997; Meriam, 1997; Sazali, 1996; Slavin, 1995; Yee, 1995). Terdapat bukti yang menyakinkan bahawa kumpulan yang bekerjasama dapat meningkatkan pemikiran peringkat tinggi dan dapat menyimpan maklumat lebih lama daripada pelajar yang membuat kerja berseorangan (Johnson & Johnson, 1986). Pembelajaran dalam kumpulan dapat mempertingkatkan sikap pelajar terhadap Matematik, disebabkan pelajar mendapat bantuan daripada rakan yang lain (Davidson, 1985). Seterusnya, pembelajaran secara koperatif berupaya membantu pelajar-pelajar kolej mengatasi sikap negatif terhadap Matematik (Higbee & Thomas, 1999). Pembelajaran Koperatif juga memberi peluang kepada pelajar untuk mendekati sesuatu masalah dengan pelbagai cara. Jika pelajar bekerjasama dalam berkongsi pendapat, membentuk penjelasan dan memberi makna kepada idea seseorang, mereka akan lebih yakin bahawa masalah boleh diselesaikan dengan pelbagai cara (Barb & Quinn, 1997). Penulis juga mendapati bahawa hasil kajian menunjukkan bahawa kelas-kelas yang memberi peluang kepada perbincangan tentang pelbagai cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah, mempunyai pelajar yang berpencapaian tinggi (Barb & Quinn, 1997). Ini menunjukkan bahawa apabila pelajar terlibat secara langsung dengan proses pembelajaran, maka pembelajaran itu lebih memberi makna kepada mereka.


IDEA DAN ISI UTAMA.

Komen daripada pensyarah di universiti mengatakan bahawa sebahagian besar pelajar matrikulasi tidak mendapat keputusan yang baik semasa di Tahun 1, terutama bagi subjek yang berkaitan dengan Matematik dan pelajar mempunyai tanggapan yang negatif terhadap subjek Matematik (Rokiah & Maslina, 1998). Kajian Zolkepeli et al. (2001) mendapati Matematik merupakan subjek yang paling sukar difahami berbanding dengan subjek-subjek lain. Menyedari perkara tersebut, penekanan harus diberi kepada proses penyelesaian masalah Matematik dan pemahaman konsep semasa pengajaran. Untuk berjaya dalam penyelesaian masalah Matematik, seseorang itu harus mempunyai strategi pengawalan, iaitu aspek metakognisi (Schoenfeld, 1985). Ketidakupayaan pelajar untuk membuat pengawalan terhadap proses pemikiran mereka merupakan masalah utama pelajar dalam menyelesaikan masalah Matematik (Garafalo & Lester, 1985; Schoenfeld, 1985). Hasil kajian Rokiah dan Maslina (1998) mendapati pelajar matrikulasi mempunyai tanggapan yang negatif terhadap subjek Matematik dalam bidang Kejuruteraan. Masalah sikap ini penting kerana menurut Riley (1997) faktor-faktor afektif boleh mempengaruhi perkembangan kognitif pelajar.Masih terdapat banyak ruang yang boleh diterokai bagi mendapatkan satu kaedah pengajaran yang boleh diaplikasi kepada semua peringkat pendidikan,sama ada peringkat menengah, kolej atau universiti. Melihat kepada masalah-masalah yang dihadapi pelajar dalam Matematik telah menggerakkan pengkaji untuk melihat kesan pembelajaran Koperatif terhadap pelajar matrikulasi.
PENDAPAT PENGULAS
Saya bersetuju dengan pendapat penulis bahawa pembelajaran Koperatif memberi kesan yang positif ke atas pelajar matrikulasi dalam mata pelajaran matematik. Menurut hasil kajian S-L Gan (1992), dalam konteks di Malaysia menyatakan murid berpendapat pembelajaran serta aktiviti dalam pembelajaran Koperatif adalah menyeronokkan. Beliau juga mendapati pendekatan Koperatif dapat membantu dalam membentuk nilai murni, mengeratkan hubungan antara kaum yang berbeza dan meningkatkan pencapaian akademik di kalangan murid, maka pembelajaran Koperatif adalah amat sesuai dilaksanakan di sekolah-sekolah Malaysia. Menurut Cheah dan June (1998/99), kelebihan dalam pembelajaran Koperatif ialah murid dilatih untuk berkomunikasi, mengurus konflik, memimpin dan membuat keputusan, semuanya merupakan kemahiran sosial yang amat penting dalam dunia bekerja pada masa depan.
Menurut Mohd Daud Hamzah (1996), pelajar mempelajari matematik melalui kegiatan seharian tertentu. Ada beberapa aktiviti yang membantu pelajar memperolehi konsep-konsep awal matematik iaitu aktiviti padanan (matching), penjenisan (sorting), reguan (pairing), dan susunan aturan (ordering). Padanan ialah kegiatan memilih sifat tertentu dan membuat perbandingan. Penjenisan pula adalah kegiatan memilih sifat umum di kalangan bentuk-bentuk. Reguan merupakan kegiatan menyatakan keselarian objek-objek secara satu lawan satu. Manakala susunan aturan adalah kegiatan meletakkan perkara sepanjang satu barisan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa teori daripada pakar-pakar pembelajaran bagaimana kanak-kanak mempelajari matematik dan jenis matematik yang boleh dipelajari pada peringkat yang berbeza dalam perkembangan kognitifnya. Antaranya ialah Teori Piaget, Bruner, Gagne dan Dienes. Teori ini diperkenalkan oleh Jean Piaget, berasal daripada Switzerland, merupakan ahli psikologi yang banyak menyumbang kepada pemahaman bagaimana kanak-kanak belajar. Daripada kajian dan pemerhatiannya, Piaget mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza dan berubah melalui empat peringkat iaitu peringkat deria motor (0–2 tahun), pra-operasi (2–7 tahun), operasi konkrit (7–11 tahun) dan operasi formal (11 tahun ke dewasa).
Menurut Teori Jerome Bruner, seorang ahli psikologi yang terkenal telah banyak menyumbang dalam penulisan teori pembelajaran, proses pengajaran dan falsafah pendidikan. Bruner bersetuju dengan Piaget bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak adalah melalui peringkat-peringkat tertentu. Walau bagaimanapun, Bruner lebih menegaskan pembelajaran secara penemuan iaitu mengolah apa yang diketahui pelajar itu kepada satu corak dalam keadaan baru. Menurut kajian dan pemerhatian yang telah dibuat oleh Bruner dan pembantunya, Kenney, pada tahun 1963 mereka berjaya membina empat teorem pembelajaran matematik (Mok Soon Sang, 1996) iaitu:
1: Teorem Pembinaan; Cara yang paling berkesan bagi kanak-kanak mempelajari konsep, prinsip atau hukum matematik ialah membina perwakilan dan menjalankan aktiviti yang konkrit.
2: Teorem Tatatanda Tatatanda matematik yang diperkenalkan harus mengikut perkembangan kognitif murid tersebut.
3: Teorem Kontras dan Variasi Konsep yang diterangkan kepada murid harus berbeza dan pelbagai supaya murid dapat membezakan konsep-konsep matematik tersebut.
4: Teorem Perhubungan ; Setiap konsep, prinsip dan kemahiran matematik hendaklah dikaitkan dengan konsep, prinsip dan kemahiran matematik yang lain.
Teori pembelajaran Gagne berbeza dengan Teori Piaget dan Bruner. Menurut Gagne, terdapat empat kategori yang harus dipelajari oleh kanak-kanak dalam matematik iaitu fakta, kemahiran, konsep dan prinsip. Gagne mempunyai hierarki pembelajaran. Antaranya ialah pembelajaran melalui isyarat, pembelajaran tindak balas rangsangan, pembelajaran melalui rantaian, pembelajaran melalui pembezaan dan sebagainya. Menurut Gagne, peringkat yang tertinggi dalam pembelajaran ialah penyelesaian masalah. Pada peringkat ini, pelajar menggunakan konsep dan prinsip-prinsip matematik yang telah dipelajari untuk menyelesaikan masalah yang belum pernah dialami.
Sementara pendapat Professor Zolton P. Dienes, seorang ahli matematik, ahli psikologi dan pendidik, pernah memberi banyak sumbangan dalam teori pembelajaran. Beliau telah merancang satu sistem yang berkesan untuk pengajaran matematik untuk menjadikan matematik lebih mudah dan berminat untuk mempelajari. Mengikut Dienes konsep matematik boleh dipelajari melalui enam peringkat iaitu permainan bebas, permainan berstruktur, mencari ciri-ciri, perwakilan gambar, perwakilan simbol dan akhirnya formalisasi. Teori Dienes mengariskan beberapa prinsip bagaimana kanak-kanak mempelajari matematik iaitu:
1: Prinsip Konstruktiviti; Pelajar haruslah memahami konsep sebelum memahaminya dengan analisa yang logik.
2: Prinsip Perubahan Perspeptual; Kanak-kanak didedahkan pelbagai keadaan supaya dapat memaksimakan konsep Matematik.
3: Prinsip Dinamik; Kanak-kanak mempelajari sesuatu melalui pendedahan dan eksperimen untuk membentuk satu konsep.
Menurut kajian Cheah, Adlan, Baskaran dan Lim (2002), mendapati kesan kaedah Koperatif dalam meningkatkan bacaan pemahaman teks dalam bahasa Cina dan bahasa Tamil adalah ketara dan dicadangkan supaya sukatan pelajaran kursus Diploma Pendidikan Malaysia terus memberikan penekanan dalam kaedah Koperatif. Hasil kajian T. H. Gan dan Wong (1995) mendapati bahawa Pembelajaran Koperatif mempunyai kesan yang positif terhadap sikap murid dalam pembelajaran matematik. T. H. Gan (1999) menyatakan murid berpendapat bahawa pendekatan Koperatif adalah seronok kerana ia memenuhi keperluan untuk berinteraksi bersama, mewujudkan suasana belajar yang lebih terjamin dan bebas dari tekanan, beliau juga mencadangkan bahawa pembelajaran koperatif sesuai sekali digunakan untuk menangani masalah penguasaan kemahiran asas matematik bagi murid-murid pelbagai tahap pencapaian.
Merujuk kepada penyelidikan meluas yang telah dijalankan di luar negeri, didapati proses pengajaran-pembelajaran dengan pendekatan pembelajaran koperatif adalah lebih berkesan untuk meningkatkan pencapaian akademik dibanding dengan pendekatan tradisional (Davidson, 1985). Menurut Slavin (1980), Sharan (1980), Johnson, Johnson, dan Holubec (1990) dan Pensri & Krongthong (1992), selain dari pencapaian akademik, pembelajaran koperatif juga membawa kesan yang positif dalam hubungan sosial antara kaum serta sikap dan minat terhadap pembelajaran. Kagan (1994), mendapati pendekatan pembelajaran koperatif membantu murid menjadi kurang gelisah dalam pembelajaran kerana sokongan yang terjamin dari ahli kumpulan. Davidson (1990) telah membuat ringkasan. terhadap banyak kajian oleh pengasas pembelajaran koperatif dan menyatakan lebih dari 40% kajian tersebut menunjukkan pencapaian murid adalah jauh lebih baik dengan pendekatan pembelajaran koperatif. Menurut Professor Hartman (1997) dari Teori Interaksi Sosial Vygotsky’s menyatakan apabila murid belajar secara kopeartif dalam kumpulan, mereka akan dibantu oleh rakan sebaya dan dapat bekerja lebih rapat untuk mencapai potensi diri masing-masing jika dibanding dengan pembelajaran secara diri.
Rumusan yang dibuat oleh D. W. Johnson dan R. T. Johnson (1989) dari 375 kajian luar negeri yang dijalankan dalam jangka masa 90 tahun mendapati pendekatan pembelajaran koperatif adalah paling berkesan dalam situasi yang memerlukan pemikiran aras tinggi, idea-idea kreativiti, applikasi dalam dunia sebenar dan melibatkan banyak penyelesaian masalah. Selain itu, juga didapati hubungan antara individu menjadi lebih positif termasuk mereka yang berbeza dari segi kebolehan intelek, kumpulan ethnik, kelas sosial dan keadaan fizikal. Kajian yang dibuat terhadap kesan pembelajaran koperatif dalam matapelajaran matematik dan sains juga menunjukkan kesan yang positif. Sherman & Thomas (1986), mendapati pembelajaran koperatif dapat meningkatkan pencapaian murid cergas, sederhana dan lemah dalam matematik. Kajian Slavin (1990), Davidson (1985) dan Webb (1985), mendapati murid lebih bersikap positif terhadap matematik dan kebolehan untuk menyelesaikan masalah matematik juga meningkat. Dapatan Nellson (1996) yang telah melaksanakan pembelajaran koperatif dalam mata pelajaran Kimia, Sains dan Teknologi menunjukkan amalan pembelajaran koperatif menyebabkan murid menjadi lebih gigih dan menghasilkan tugasan yang lebih berkualiti. Dees (1991), melaporkan murid dapat menyelesaikan masalah matematik dengan terbaik apabila dapat bekerja dalam kumpulan kecil. Selain itu, beliau juga mendapati pembelajaran koperatif adalah sangat sesuai untuk mereka yang tidak yakin dan lemah dalam penyelesaikan masalah matematik.

KESIMPULAN
Dalam pembelajaran Koperatif, pelajar boleh bersemuka dan berbincang serta bertukar maklumat, membantu rakan-rakan, berkongsi pandangan yang berbeza, mendapat maklumbalas segera dan memberi galakan antara satu sama lain. Dalam suasana berinteraksi antara satu sama lain, membolehkan pelajar menjelaskan strategistrategi dan idea-idea Matematik dengan perkataan mereka sendiri, dengan itu saling membantu dalam memproses aktiviti kognitif yang kompleks (Davidson, 1985). Pengajaran tradisional adalah lebih kepada peranan guru menyampaikan maklumat dan juga merangkumi aspek penyelesaian masalah Matematik dalam kelas secara individu. Bagi kumpulan tradisional, pengajaran di dalam kelas tidak melibatkan penggunaan kumpulan kecil. Pada awal pengajaran, guru mengedarkan set-set soalan yang disediakan bagi tujuan penyelesaian masalah Matematik. Setiap pelajar mendapat soalan yang sama dan guru meminta pelajar melengkapkan soalan latihan yang diberi. Di samping itu, guru juga berbincang dengan pelajar tentang masalah yang mereka hadapi. Jika menghadapi masalah, guru menerangkan cara atau kaedah sesuatu masalah itu diselesaikan serta membincang soalan-soalan lain yang berkaitan. Setiap langkah penyelesaian diterangkan oleh guru.
Guru juga memilih dan memanggil beberapa orang pelajar bagi menyelesaikan masalah di papan putih. Seterusnya guru memberi kerja kelas tambahan dan meminta pelajar menyiapkan tugasan yang selanjutnya jika diperlukan. Pada akhir pengajaran, guru membuat rumusan tentang apa yang telah dipelajari. Langkah-langkah ini diulang pada setiap kali kelas tutorial sehingga ke minggu akhir semester. Pembelajaran seperti ini tidak memberikan perkembangan yang positif kepada pelajar. Tujuan utama sistem koperatif adalah bagi menggalakkan akauntabiliti dalam diri pelajar. Hasilnya, pelajar-pelajar bekerjasama sebagai satu pasukan dalam kumpulan masing-masing. Jika perkara ini tidak dilaksanakan, berkemungkinan kerjasama antara pelajar tidaklah seperti yang diharap pembelajaran Koperatifan. Selain itu, faktor lain yang mungkin membawa kejayaan kepada intervensi ini ialah program latihan yang dijalankan terhadap guru yang mengajar kumpulan koperatif.
Berbanding dengan guru yang mengajar kumpulan tradisional, guru kumpulan koperatif telah diberi latihan intensif dalam mengendalikan pembelajaran Koperatif. Pengajarannya mungkin menyeronokkan dan berkesan kepada pelajar. Walaupun tiada perbezaan signifikan antara kumpulan koperatif dan kumpulan tradisional, sikap pelajar terhadap Matematik adalah stabil bagi kumpulan koperatif jika dibandingkan dengan kumpulan tradisional yang menunjukkan penurunan. Dapatan kajian ini menunjukkan pendekatan pengajaran yang melibatkan peranan aktif pelajar mampu meningkatkan prestasi pelajar. Dengan itu, guru Matematik perlu mengambil peranan yang lebih proaktif dalam menjalankan sebarang perubahan pengajaran kerana ia memberi kesan kepada pembelajaran Matematik pelajar. Bermakna, pengajaran berpusatkan pelajar seperti pembelajaran Koperatif perlu menjadi amalan pengajaran di bilik darjah. Dapatan kajian ini juga memberi implikasi kepada pelajar. Dapatan kajian menunjukkan pembelajaran Koperatif merupakan satu pendekatan yang sesuai bagi pelajar mengambil bahagian secara aktif di dalam pembelajaran mereka. Walaupun sikap terhadap Matematik tidak menunjukkan perubahan selepas intervensi pembelajaran Koperatif, tidak bermakna pembelajaran Koperatif telah gagal. Pembelajaran Koperatif tidak menyebabkan pelajar menjadi semakin negatif dari segi sikap. Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang harus dipertimbangkan terlebih dahulu dalam melaksanakan pembelajaran Koperatif dalam kelas tutorial matrikulasi. Perkara-perkara tersebut adalah (a) sokongan pentadbiran, (b) latihan guru dan (c) kolaborasi antara guru, (d) latihan pelajar. Perkara-perkara tersebut adalah penting bagi kelancaran pelaksanaan pembelajaran Koperatif. Melihat kepada literatur, tiada kelebihan ketara yang ditunjukkan oleh penggunaan kaedah tradisional dalam pengajaran secara berterusan. Kaedah pengajaran tradisional masih boleh digunakan kerana relevan bagi menyampaikan maklumat dan konsep Matematik dalam keadaan tertentu. Bagaimanapun, pembelajaran Koperatif boleh dijadikan alternatif kepada kaedah tradisional. Dengan kerjasama guru dan pelajar-pelajar, pembelajaran Koperatif boleh memberi kesan positif kepada pelajar. Walaupun terdapat rintangan serta halangan dalam pelaksanaan pembelajaran Koperatif (Effandi, 2001), ia masih juga memberikan hasil yang konsisten terutama dari segi pencapaian dan kemahiran menyelesaikan masalah.



Bahan Rujukan:
http://www.my-rummy.com/Kanak-kanak_belajar_matematik.html
http://www.scribd.com/doc/4325038/Jurnal-Kesan-Pembelajaran-Koperatif-Terhadap-Sikap-dan-Pencapaian

www.scribd.com/.../Jurnal-Kesan-Pembelajaran-Koperatif-Terhadap-Sikap-dan-Pencapaian


No comments:

Post a Comment